Fernando Torres terus hambar bersama pasukan barunya, Chelsea apabila buat kali kedua berturut-turut gagal menamatkan aksi penuh, kelmarin.
Pada pertemuan dengan Fulham yang berkesudahan seri tanpa jaringan itu, penyerang yang dibeli dengan harga £50 juta (RM244.5 juta) dari Liverpool itu hanya beraksi 71 minit.
Torres digantikan dengan Didier Drogba selepas itu.
Namun pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti tetap mempertahankan tindakannya tidak meletakkan Drogba dalam kesebelasan utama sebaliknya menggunakan gandingan Torres dan Nicolas Anelka.
"Saya tak pasti sama ada Drogba gembira dengan keputusan yang saya buat ini. Tapi itu tak penting sebenarnya.
"Kami mahu menggilirkan pemain untuk memberi setiap pemain motivasi dan Torres memerlukannya apabila beraksi bersama kami.
"Bagi saya, Torres tetap beraksi dengan baik. Corak permainannya lebih baik berbanding ketika kami tewas 0-1 kepada Liverpool.
"Dia menggunakan kemampuan yang dimilikinya untuk melakukan gerakan dan mendapat beberapa peluang pada separuh masa pertama tetapi nasib tidak berapa baik.
"Saya terpaksa keluarkannya kerana kami perlukan tenaga segar daripada Drogba pada baki perlawanan," kata Ancelotti.
Pada aksi awal pagi semalam, pemain pertahanan baru Chelsea, David Luiz telah beraksi cukup baik biarpun dia menghadiahkan sepakan penalti kepada Fulham pada minit terakhir perlawanan.
Mujur penjaga gol Chelsea, Petr Cech berjaya menyelamatkan sepakan penalti yang diambil oleh Clint Dempsey.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan