Selasa, 8 Februari 2011

ACC 2012 di Malaysia


Hasrat Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) tercapai apabila Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) mengumumkan Malaysia bakal menganjurkannya pada tahun depan.

Menurut Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad (gambar), pemilihan tersebut adalah satu penghargaan buat Malaysia kerana berpeluang menganjur kejohanan melibatkan negara-negara Asia baik acara trek mahupun lebuh raya.

"Saya mengucapkan terima kepada ACC kerana memilih Malaysia sebagai tuan rumah ACC 2012, ini adalah peluang terbaik buat negara kita menganjurkan beberapa acara sampingan bersempena kejohanan tersebut," katanya dalam dalam laman sosial, Facebook, semalam.

Jelasnya, selain menganjurkan acara bagi trek dan lebuh raya, Malaysia juga akan cuba untuk mengadakan Konvensyen dan Pameran Berbasikal ketika kejohanan itu dianjurkan nanti.

"Jika cukup peserta kita juga akan cuba mengadakan acara bagi paracycling dan buat pertama kali menganjurkan kejohanan bawah 23 tahun," jelas Naim yang sekarang ini berada di Korat, Thailand sempena ACC 2011 yang bermula, esok.

PKBM sebelum ini berusaha membida penganjuran ACC 2012 di Kuala Lumpur dalam usaha membolehkan lebih ramai pelumba negara layak beraksi di Sukan Olimpik 2012 di London.

Sebelum ini, Presiden PKBM, Abu Samah Wahab mengeluarkan kenyataan bahawa

penganjuran itu adalah penting kerana memberi kelebihan kepada pelumba negara dalam mengumpul mata melayakkan diri ke Olimpik 2012.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah ACC ialah pada September 2006 yang menyaksikan Malaysia menduduki tangga kelima terbaik dengan mengumpul satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Misi mengumpul mata ke Olimpik bermula selepas tamatnya Sukan Asia Guangzhou, November lalu, seterusnya Siri Piala Dunia Klasik Melbourne 2-4 Disember, Cali, Colombia 16-18 Disember, Beijing 21-23 Januari lalu bagi acara trek.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan