KEMELUT peletakan jawatan jurulatih perseorangan badminton, Datuk Misbun Sidek masih jauh daripada titik penyelesaian apabila dia dan majikannya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum bersemuka sehingga semalam.
Permasalahan itu segera mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mahu segera ia diselesaikan sebelum berlarutan dan menjejaskan urusan kerja badan induk itu terus dalam situasi porak peranda.Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dia menjemput presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh ke pejabatnya pagi semalam bagi membincangkan perkara itu dan untuk berlaku adil, dia juga sedang mengaturkan pertemuan dengan Misbun di sebelah malam (malam tadi) untuk mendapat gambaran yang telus dan sebenar.“Apa juga keputusan sama ada Misbun meneruskan perkhidmatannya atau tidak, kita kena ingat ia dibuat demi kepentingan negara. Taraf badminton kita sudah berada di peringkat dunia dan kita tidak mahu sukan ini malap.
“Mungkin apa yang berlaku ini hanyalah salah faham yang menyebabkan Misbun tidak gembira.
“Sekiranya mereka perlukan bantuan saya, saya akan bantu,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Nadzmi yang ditemani beberapa anggota jawatankuasa eksekutif BAM di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
Menjawab pertanyaan pemberita yang musykil apabila Nadzmi tidak turut sama dalam sidang media itu, Ahmad Shabery berkata, presiden BAM itu tidak mahu berdepan dengan media bagi mengelakkan kekeruhan ataupun disalah tafsir mengenai isu yang belum selesai.
“Nadzmi kelihatan tenang tadi dan mereka (BAM) tidak mendapat alasan daripada Misbun mengapa dia meletakkan jawatan. Kenyataan mereka konsisten, sama seperti sebelum ini,” katanya yang enggan mengulas lanjut butiran pertemuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan