Atlet karate negara, R. Puvaneswaran melakar kejutan apabila mengetepikan calon pilihan, yang juga jaguh berbasikal keirin dunia, Azizulhasni Awang apabila dinobat Olimpian Lelaki Negara 2010, semalam.
Datuk Nicol David pula menepati ramalan apabila pemain skuasy No. 1 dunia itu dipilih sebagai Olimpik Wanita Negara, mengetepikan saingan jaguh wusyu negara yang memenang pingat emas Sukan Asia, Chai Fong Ying dan atlet terjun, Pandelela Rinong.
Ia merupakan kemenangan kedua buat Nicol, selepas menerima anugerah yang sama untuk 1998. Kemenangan tersebut membolehkan Puvaneswaran dan Nicol masing-masing membawa pulang RM10,000 sumbangan Coca-cola beserta trofi. Hadiah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Puvaneswaran, pemenang pingat emas acara Kumite lelaki bawah 55kg pada Sukan Asia 2010, berkata, dia terkejut dan tidak menyangka dipilih sebagai pemenang.
‘‘Saya tidak menduga boleh terpilih sebagai pemenang kerana calon untuk kategori lelaki cukup hebat seperti Azizulhasni, Alex Liew (boling) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton).
‘‘Ini adalah pengiktirafan tertinggi yang saya terima sepanjang karier saya dalam sukan ini.
‘‘Lebih penting, anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada sukan karate, kerana saya adalah penerima pertama dari sukan karate,’’ katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan