Selasa, 11 Januari 2011

Pelumba Negara perlu mantap untuk LTDL 2011

Pelumba kebangsaan mampu menyaingi 22 pasukan handal pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, yang bermula 23 Januari ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerja LTdL 2011, Datuk Salim Parlan percaya, penyertaan pasukan handalan dari seluruh dunia, mampu melonjakkan kualiti kayuhan pasukan kebangsaan Malaysia, sekali gus merealitikan impian menjadikan skuad lebuh raya negara digeruni di rantau Asia.

Menurutnya, ini selaras dengan tindakan penganjur kejohanan yang bertujuan untuk memberi ujian getir bertaraf dunia kepada skuad lebuh raya Malaysia.

"Penganjur menjemput 23 pasukan yang kuat, 10 daripadanya adalah pasukan pro benua dari Eropah. Malaysia adalah antara tiga pasukan kebangsaan selain Korea Selatan dan Afrika Selatan.

"Saya dimaklumkan pasukan pro benua yang menyertai perlumbaan kali ini adalah kelab yang permohonannya ditolak Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk menjadi kelab Pro Tour.

"Jadi ini bermakna standard LTdL 2011 sangat kompetetif dan bagus kepada skuad kebangsaan Malaysia.

"Jadi, saya harap skuad lebuh raya negara ambil kesempatan ini untuk mengukur standard kayuhan mereka apabila bersaing dengan kelab pro benua yang kuat," katanya selepas kempen Yellowride di Sitiawan, semalam.

Kempen Yellowride Sitiawan adalah acara pra kejohanan LTdL 2011 dan sebelum ini ia diadakan di Jasin, Melaka pada 25 Disember lalu.

Antara pasukan pro benua yang dianggap kuat pada LTdL 2011 ialah Androni, Colnago-CSF, Landbouwkrediet, Tabriz Petrochemical Cycling Team dan Drapac Professional Cycling Team, selain cabaran pasukan kebangsaan Korea Selatan dan Afrika Selatan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2011, Mohamed Salleh menegaskan, pasukan kebangsaan yang baru dilatih jurulatih Australia, Graham Seers telah diberikan pendedahan berlatih yang mencukupi di Melbourne, sejak Julai lalu.

"Beberapa pelatih kebangsaan yang sedang menjalani latihan intensif bersama Seers sekarang telah berlatih hampir sebulan di Melbourne sejak Julai lalu.

"Dalam tempoh itu, mereka juga menyertai beberapa kejohanan kompetitif di Australia dan ada yang menang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan