Ahad, 2 Januari 2011

Rooney temui sentuhan!!!

WAYNE Rooney menamatkan kemarau jaringan dalam permainan sejak Mac tahun lalu dengan bergaya malam tadi apabila menyumbat gol pertama untuk membantu Manchester United mengatasi West Bromwich Albion 2-1 di Hawthorns.

Kemenangan itu kembali mengukuhkan United di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 41 mata dan satu perlawanan dalam tangan di depan pencabar lain termasuk pasukan tangga kedua Manchester City, yang turut ke pada beberapa jam selepas itu.

Begitupun, tiga mata yang diraih skuad Sir Alex Ferguson malam tadi tidak hadir mudah, malah mereka dianggap bernasib baik untuk menang apabila West Brom mensia-siakan peluang berada di depan selepas sepakan penalti yang diambil Peter Odimwingie tersasar.
Rooney membuka tirai jaringan menerusi tandukan mengelirukan hasil hantaran Gabriel Obertan seawal minit ketiga tetapi selepas itu, tuan rumah bangkit dengan jaringan penyamaan menarik James Morrison untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga babak pertama.

West Brom yang sesekali melancarkan serangan pantas mendapat peluang untuk berada di depan pada minit ke-62 selepas dihadiahkan sepakan penalti tetapi sepakan Odimwingie jauh tersasar ketika penjaga gol, Tomasz Kuszczak sudah merebahkan badan ke sebelah kanan gawang.

Namun tandukan jarak dekat pada minit ke-72 oleh pemain gantian dari Mexico, Hernandez yang tidak dikawal ketika sepakan sudut membolehkan United bernafas lega dan bertahan sehingga permainan tamat. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan