Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengajak rakyat negara ini memanfaatkan harga tiket yang murah untuk bersama-sama memberi sokongan kepada skuad kebangsaan pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Katanya, harga tiket serendah RM30 seharusnya menjadi perangsang buat seluruh penduduk negara hadir ke stadium untuk menguatkan lagi jentera negara pada perlawanan penting ini.
"Penuhkan stadium kerana dengan sokongan yang ada sudah semestinya kelebihan bertambah besar buat kita. Lagipun tiket disini begitu murah jika dibandingkan di Indonesia, yang mana itu jelas menghairankan ramai penyokong lawan yang tidak menjangka tiket grand stand kita pun sekadar bernilai RM50 sahaja," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pagi skuad negara di padang Wisma FAM, semalam.
Turut hadir adalah Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad
Tambah Shabery, dia juga percaya penjualan tiket pasti meningkat menjelang hari pertandingan nanti kerana sikap 'lambat panas' rakyat tempatan adalah sesuatu yang biasa.
Pada pertemuan dengan kesemua barisan pemain semalam, Shabery sempat meniupkan kata-kata semangat terhadap mereka, dengan memberitahu, Malaysia mempunyai segala-gala kelebihan berbanding pasukan lawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan