Jaguh perseorangan badminton negara, Muhammad Hafiz Hashim mengimpikan penampilan sulung pada Sukan Olimpik tahun depan selepas mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) dan pengeluar barangsan sukan China, Li Ning sebagai penaja.
Hafiz yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Februari lalu melaungkan keazaman untuk bangkit daripada karier yang suram apabila beraksi dalam beberapa kejohanan utama Siri Super Premier, Siri Super dan Grand Prix Emas.
Menurutnya, Temasya London 2012 adalah peluang terakhirnya untuk beraksi di Olimpik kerana selepas itu usianya semakin meningkat dan dia berharap dapat menempatkan diri di antara lapan pemain terbaik dunia untuk layak secara automatik.
"Mungkin tahun ini saya akan bekerja lebih keras, kerana selain Sukan Olimpik saya juga mensasarkan untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di London (8-14 Ogos), jadi saya perlu berada pada tahap terbaik sepanjang tahun," katanya pada sidang media selepas Majlis Mengumumkan Penajaan KLRC dan jenama sukan terkemuka, Li Ning semalam.
Juara All England 2003 itu menandatangani perjanjian selama dua tahun dan opsyen dua tahun dengan Li Ning serta menyertai KLRC dengan kontrak satu tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan