John Terry kelmarin menyatakan bahawa dia berasa bangga untuk diberi semula kepercayaan menjadi kapten pasukan England.
"Saya tidak pernah berhenti mengharapkan agar suatu hari saya diberi peluang memimpin negara sekali lagi," katanya.
Pengurus England, Fabio Capello secara terbuka mendedahkan rancangannya menyerahkan semula lilitan kapten kepada Terry menjelang perlawanan pusingan kelayakkan Piala Eropah 2012 menentang Wales di Cardiff, Sabtu ini.
Pelantikan itu juga mungkin kekal dengan Capello percaya pemain pertahanan Chelsea itu sudah insaf selepas dilucutkan jawatannya tahun lalu.
Bercakap buat kali pertama mengenai isu kapten, Terry menjelaskan, dia merupakan seorang pemain yang sering mencurahkan segala yang terdaya seperti yang diminta pengurus untuk memastikan England mencapai kemenangan.
"Kemenangan ke atas Wales adalah cukup penting kerana ia merupakan perlawanan getir.
"Saya melupakan kenangan pahit selepas dilucutkan jawatan sebagai kapten, namun saya tidak pernah ada apa-apa masalah dengan pengurus.
"Saya juga tidak pernah berputus asa yang saya akan kembali sebagai kapten England.
"Ketika pengurus memberitahu saya dalam mesyuarat di Wembley bahawa saya dipecat, keputusan itu diterima saya dengan hati terbuka biarpun saya tidak begitu bersetuju dengannya.
"Di saat itu, saya tetap berjabat tangan dengan Capello dan Franco Baldini (penolong pengurus) dan memaklumkan kepada mereka saya sentiasa memberikan 100 peratus.
"Saya sentiasa menghormati Capello sebagai seorang jurulatih dan pengurus," jelas Terry.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan